KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sudah puluhan tahun ditinggalkannya, tetapi seperti kebanyakan bekas pelajarnya, kesetiaan mengenakan tali leher kolej terbilang itu setiap Rabu tidak pernah goyah dalam diri Datuk Shahrir Abdul Samad.
“MCKK membawa banyak kestabilan dalam diri saya. Bapa saya seorang guru dan sebagai kakitangan kerajaan, kami sentiasa berpindah-randah.
“Keadaan itu ada kesannya kepada saya kerana sentiasa bertukar kawan... baru nak selesa di sesuatu tempat dan membina jambatan persahabatan, terpaksa berhijrah ke negeri lain hinggakan sukar untuk menyingkap sejarah zaman kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, kehidupan di MCKK pada 1961 hingga 1967 banyak membentuk keperibadian diri. Paling utama, beliau berpeluang berkawan tanpa perlu risau ia cuma untuk setahun dua, manakala bernaung dalam persekitaran sama untuk tempoh agak panjang turut memberi kelegaan padanya.
Sistem pendidikan lompat darjah membolehkan Shahrir menamatkan sekolah rendah dalam tempoh lima tahun, justeru menjadi pelajar setahun lebih muda berbanding rakan sekelas sepanjang belajar di MCKK.
“Tubuh saya lebih kecil berbanding rakan, manakala usia saya juga lebih muda... apa yang dapat saya katakan, I’m a genius,” katanya berseloroh dalam pertemuan di pejabat Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di Bangunan Parlimen, baru-baru ini.
Mata umum yang mengukurnya secara lahiriah mungkin menilai Shahrir sebagai individu yang lantang bersuara dan sering mengundang kontroversi, justeru sukar menerima hakikat ahli politik berpengalaman itu mudah diajak bersembang, malah ada kalanya menjawab pertanyaan dengan melontar persoalan lain.
Di sebalik wajah serius lelaki berkaca mata dan berambut putih itu, tersimpan jutaan cerita kehidupan yang mampu mengundang tawa dan hiba, selain pengalaman yang bukan saja mendewasakan dirinya tetapi turut mematangkan mereka di sekeliling.
“Orang menganggap saya ‘outspoken’ kerana sering menyuarakan apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan kesannya, namun bukankah memang kita sepatutnya bersuara kerana orang lain mana tahu apa yang kita fikirkan.
“Itu gunanya akal, hati dan fikiran. Kita mesti berani berpegang kepada prinsip diri dan yakin dengan kebolehan. Saya ambil HSC (Higher School Certificate) dua kali, sekali sebagai pelajar aliran Sastera dan sekali lagi sebagai calon aliran Sains.
“Kenapa? Sebab saya nak mendalami bidang ekonomi. Asalnya nak lanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina, tapi saya rasa subjek Ekonomi yang dipelajari ketika Tingkatan Enam terlalu asas, jadi saya duduki HSC lagi sekali dan Alhamdulillah, keputusan peperiksaan melayakkan saya ke Universiti Malaya (UM),” katanya.
Nampaknya seperti spontan, namun Shahrir tidak pernah mengetepikan mereka yang perlu diajak berbincang untuk bersama menghalusi keputusan yang akan diambil, baik membabitkan peribadi atau khalayak lebih besar.
Paling sukar dilupakan, terutama oleh ahli Umno pastinya keengganan Shahrir menyertai Umno Baru pada 1988, sekali gus membawa kepada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Johor Bahru yang menyaksikan beliau bertanding atas tiket Bebas menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).
Bukan angka majoriti 12,613 undi yang diperoleh menjadi kebanggaan anak kelahiran Kuantan itu, sebaliknya kelegaan yang menakluki hatinya sebaik keputusan diumumkan jam 3.25 pagi tanggal 26 Ogos 1988.
“Itu bukan kemenangan saya, tetapi kemenangan pengundi di Johor Bahru. Kebetulan masa tu tinggal beberapa hari menjelang sambutan kemerdekaan, satu JB terang benderang dengan lampu merdeka sebaik keputusan diumumkan... betul-betul terasa macam pesta!
“Jauh di sudut hati, saya lega kerana saya tahu saya betul. Benar, saya ambil keputusan yang ditafsir sebagai menongkah arus oleh sesetengah pihak, tapi ia pilihan saya dan ia diambil selepas berbincang dengan mereka yang yakin bahawa itulah yang terbaik.
“Kita mampu melakukan perubahan jika kita yakin pada diri. Mereka memberi sokongan, saya teruskan sumbangan... saya melihatnya sebagai perkongsian pintar bersama rakyat, harus sama-sama memberi untuk sama-sama merasa,” katanya.
Shahrir berkata, jatuh bangun dalam politik adalah sebahagian daripada pakej yang mesti dihadapi dengan tabah oleh mana-mana pemimpin “kerana ada kalanya kita lebih memahami keseluruhan konsep politik apabila kita tersisih tanpa jawatan dan kepentingan.”
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa, termasuk yang membabitkan kerjaya politiknya.
“Untuk apa berdendam? Tak perlu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang saya buat, tindakan yang saya ambil, keputusan yang saya terima.
“Tiada yang mengganggu tidur saya, malah saya tidur awal... 10.30 malam dah lelap. Kalau kita tidak melihat jawatan milik mutlak, kita tidak akan rasa kehilangan apa-apa bila dah tak pegang jawatan. Masa jadi menteri, saya melihatnya sebagai tugas sementara... buat kerja betul-betul seperti diamanahkan,” katanya.
Sememangnya beliau adalah antara pemimpin yang arif mengenai sepak terajang politik. Digugurkan daripada Kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1987, Shahrir mengalih tumpuan kepada bidang perniagaan dobi dan cucian kering di Medan Damansara - dunia baru yang meningkatkan kefahamannya terhadap hubungan sesama manusia.
“Masyarakat sering menaruh prasangka terhadap orang politik dan itulah yang berlaku ketika saya menjalankan perniagaan. Saya ambil masa setahun untuk yakinkan orang keliling terutama bank bahawa yang memohon pinjaman itu bukannya bekas menteri, tetapi orang biasa yang nak berniaga.
“Mulanya memang pihak bank agak curiga kalau-kalau saya gunakan rangkaian politik untuk dapatkan pinjaman dan saya sudah menduga untuk berdepan keadaan itu, tapi saya yakinkan mereka itu tidak akan berlaku. Dyna Wash adalah bisnes dan tanggungjawab saya, susah senang saya yang hadapi... apa perlunya saya kaitkan orang lain,” katanya yang sentiasa memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya.
Ada masanya beliau menggosok pakaian dan kadang-kadang turut mengendalikan mesin cucian kering kerana berpendapat pendekatan itu adalah cara terbaik baginya memahami apa yang diusahakan.
Kesungguhan beliau dan prestasi Dyna Wash meyakinkan pihak bank bahawa pelanggan mereka benar-benar serius mengendalikan perniagaan. Malah, lokasi strategik berhampiran pusat pentadbiran kerajaan di Pusat Bandar Damansara ketika itu turut mendorong beberapa anggota Kabinet menjadi pelanggan tetap.
“Ya, mereka menyokong tapi bukan semua datang sendiri. Ada yang hantar pembantu, ada suruh pemandu... saya tak kisah sebab saya terima siapa saja yang jadi pelanggan, yang tak nak takkan kita nak paksa.
“Perniagaan saya bertahan 10 tahun sebelum dijual dan ia menyedarkan saya bahawa kita boleh mencari makan di bumi sendiri... tak perlu jadi menteri, tak perlu pegang jawatan penting dalam pentadbiran dan tak perlu mendapat lesen kerajaan untuk terus hidup,” katanya.
Dyna Wash dijual kerana Shahrir berubah angin untuk terbabit dalam pengedaran produk berkaitan golf - sukan yang didekatinya agak lewat dalam kehidupan iaitu ketika berusia 50 tahun.
Ditanya jika ada kekesalan dalam kamus hidupnya, Shahrir pantas menggeleng. Katanya, segala yang ditakdirkan mesti diterima dengan kesyukuran dan pegangan yang menjadi kekuatannya ialah keadaan boleh menjadi lebih buruk daripada apa yang sedang dihadapi.
“Kita mesti hargai apa yang dimiliki. Ya, saya merungut mengenai pelbagai perkara tapi saya juga percaya perubahan akan berlaku. Kita kena sabar dan bila perlu, kita mesti menjadi sebahagian daripada ejen perubahan itu,” katanya.
“Macam di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen mengkritik, memuji, menegur dan memberi cadangan... semua itu kerana kita mahukan perubahan. Jika kerajaan dilihat tidak melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan, kita akan bersuara dan terus bersuara hingga tindakan diambil.
“Ahli politik mesti cuba sedaya-upaya memenuhi apa yang rakyat akar umbi mahukan, bukan untuk menyeronokkan hati bos saja,” katanya.
BIODATA: Datuk Shahrir Abdul Samad
Tempat lahir: Kuantan, Pahang.
Tarikh lahir: 22 November 1949
Isteri: Datin Shahrizan Abdullah
Anak: Marisa, 22.
Pendidikan:
- Sekolah rendah di Kuala Pilah, Kota Bharu dan Kuala Terengganu (1955-1960)
- Kolej Melayu Kuala Kangsar (1961-1967)
- Universiti Malaya - Sarjana Muda Ekonomi (Statistik) (1972)
- International Institute of Management Developmet, Lausanne, Switzerland - Sarjana Pengurusan Perniagaan (1977)
Kerjaya politik:
- Pengerusi Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC)
- Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
- Ketua Umno Johor Bahru (1982-1987/1990-kini)
- Ahli Parlimen Bebas (1988)
- Menteri Kebajikan (1986-1987)
- Naib Presiden Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) 1985/1986
- Ahli Parlimen Johor Bahru (1978-1990)
- Ahli Majlis Tertinggi Umno (1984-1987/2000-kini)
- Menteri Wilayah Persekutuan (1983-1986)
- Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (1982)
- Timbalan Menteri Kewangan (1980)
- Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (1978)
- Ketua Pemuda Umno Johor Bahru (1978)
- Setiausaha Politik Tun Hussein Onn (1976-1978)
- Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein (1975-1976)
- Exco Pemuda Umno (1974-1982)
- Setiausaha Politik Tan Sri Musa Hitam (1973)
Kerjaya lain:
- Pegawai Bank di The Standard & Chartered Bank (1972-1973)
- Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
- Pengerusi/Pengarah Urusan, Saske Corporation Sdn Bhd
- Pengerusi/Pengarah Urusan, Saske Leisure Systems Sdn Bhd
- Pengerusi/Pengarah urusan, Saske Associates Sdn Bhd
- Pengerusi/Pengarah Urusan, Saskevest Sdn Bhd